Monday, August 28, 2017

Kemunculan orang baru

Pagi itu, sekitar jam 4 lebih Ummi terasa sakit di perut. Sekejap sakit sekejap redha. Sehingga lah berlanjutan ke jam 5 pagi. Abi dah tak sedap badan dan syorkan pada ummi untuk pergi ke hospital. Sebelum bertolak ke hospital, abi kejutkan along yang sedang tidur dan bagitau bahawa ingin bawa ummi ke hospital.

10 minit perjalanan kami sampai ke Hospital Setiu. Terus memandu kereta ke wad bersalin yang berada di atas bukit bersebelahan wad kecemasan. Parking kereta betul2 depan pintu utama dan turunkan ummi kat situ.

Jam menunjukkan 6 pagi. Dah Subuh rupanya. Tapi kelibat nurse tak kelihatan walaupun seorang. Tidak seperti di Hospital Tanah Merah yang tak sunyi daripada keluar masuk nurse. Begitu juga dengan orang ramai. Tapi di Setiu lain, suasana tenang dan aman damai. Tiada orang yang nak bersalin pada masa tu. Tiada juga orang yang sedang menunggu! Abi keseorangan pada masa itu.Hanya zikir dan doa Nabi Allah Yunus adalah peneman pada masa itu di selang selikan dengan bacaan Al Fatihah. Abi menunaikan Solat Subuh di bilik kecil yang disediakan di situ.

Jam 7.15 pagi, nurse datang memanggil abi dan memberitahu bahawa ummi dah berada di bilik bersalin. Dia mempelawa abi masuk menemani. Ini adalah kali kedua abi menemani ummi. Kali pertama semasa ummi sedang bertarung nyawa untuk melahirkan puteri kami "Rabiatul Adawiyah" di HUSM. Tuhan masih sayangkan puteri kami  dan mengambilnya selepas 30 minit keluar dari alam rahim.

7.20 pagi ummi memberitahu bahwa dia sakit macam terasa hendak membuang air besar. Abi segerakan bagitahu nurse yang bertugas. 3 Orang nurse telah masuk dan membuat persediaan. Untuk percubaan 'push' buat kali pertamanya tak berjaya bagi ummi. Ummi teruskan lagi untuk kali kedua dan seterusnya tapi tak berjaya untuk mengeluarkan 'orang baru' melepasi garisan@sempadannya. Abi berdebar2....Ya Allah kuatkanlah tenaga ummi...itulah doa abi dalam hati. Beberapa zikir lain termasuklah doa Nabi Allah Yunus AS turut membasahi bibir abi. Abi lihat ummi semakin tak bertenaga untuk menerang orang baru. Abi lihat peluh terpercik keluar dari ubun2 ummi. Air mata tak henti2 menitis dari pipinya. Ya Allah begitu besar pengorbananmu untuk melahirkan seorang insan ini. Abi sapu peluhan yang keluar dan deraian air mata itu.

Dalam bergelumang dengan kesakitan itulah, pengharapan abi kepadaNya amat ketara sekali. Sehinggalah abi melafazkan juga kalimah zikir la hau la wala quwwata illa billahil 'aliyyil 'azim. Alhamdulillah tidak lama kemudian, lahirlah seorang insan jam 7.34 pagi pada hari Sayyidul Ayyam. Ahmad Affan Hakimi nama diberi.

Selesai Ahmad Affan Hakimi keluar, ummi dan abi melafazkan syukur. Terdengar suara kesyahduan ummi membacakan ayat suci Al Quran daripada surah An Nahl, ayat 78 yang bermaksud:

Dan Allah yang telah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatu pun, dan Dia mengurniakan kepada kamu penengaran dan penglihatan serta hati akal fikiran supaya kamu bersyukur.

Alhamdulillah atas segala hal...

#pengalamandibilikbersalin

No comments:

 
Copyright © 2017 Cerita Abi. All Rights Reserved. Designed by Cik Nurfarah.