Bahagia Itu dari Hati yang Tenang
Jadi
apa bahagia sebenarnya? Bahagia itu bukan dari luar ke dalam,
sebaliknya dari dalam ke luar. Maksudnya, harta, nama dan lain-lain
perkara berbentuk kebendaan dan luaran bukan penyumbang kepada
kebahagiaan seorang manusia. Bahagia itu datang dari dalam diri dan
sesuatu yang maknawi sifatnya.
Untuk
menangani sesuatu yang berasal atau berpunca dari dalam diri, manusia
tidak boleh bergantung kepada dirinya semata-mata. Manusia harus
bergantung kepada Allah, Penciptanya Yang Maha Mengetahui. Soal dalaman
ialah soal hati atau roh. Itu sangat sedikit diketahui oleh manusia.
Untuk mengetahui rahsia bahagia, manusia perlu kembali kepada
Penciptanya (Allah).
Bahagia
itu datang dari hati yang tenang. Hati yang tenang terhasil daripada
sering mengingati Allah. Dalam al-Quran Allah mengingatkan hanya dengan
mengingati-Nya hati akan menjadi tenang. Firman Allah yang bermaksud:
“Ketahuilah dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang.” (Surah
al-Ra’d 13: 28)
Dengan berzikir
hati menjadi tenang dan dengan ketenangan hati itulah terciptanya
kebahagiaan pada diri seseorang. Itulah resipi kebahagiaan dari segi
ilmiahnya. Namun bagaimana pelaksanaannya?
Saya
pernah mendengar kisah benar yang diceritakan oleh seorang bekas mufti
tentang pengaduan seorang suri rumah tentang kebengisan suaminya.
Bayangkan, suaminya “kaki masjid”, kuat berzikir dan memakai serban
serta jubah. Namun anehnya, suami itu sangat garang dan ganas. Pantang
salah sedikit, isterinya akan diherdik, ditampar malah ditendangnya.
Lalu kita tertanya-tanya, mengapa suami yang kuat berzikir itu jadi
begitu? Mengapa zikir yang ditegaskan sebagai sumber ketenangan itu
gagal memberikan ketenangan kepada suami yang pemarah itu?
Lalu
kita bertanya, bagaimana faktor zikrullah (mengingati Allah) ini dapat
dipraktikkan dalam rumah tangga agar rumah tangga itu benar-benar
mendapat ketenangan dan seterusnya kebahagiaan? Apakah suami, isteri
dan seluruh anggota keluarga perlu berzikir sahaja sepanjang masa? Atau
mengapa setelah zikir dipraktikkan, rumah tangga masih tidak
tenang-tenang juga? Di mana salahnya?
Ada
sepasang suami isteri yang menghadapi masalah dalam rumah tangga.
Isteri keletihan menguruskan anak-anak yang masih kecil manakala
suaminya pula keletihan bekerja untuk menyara ekonomi keluarga. Mereka
sama-sama letih. Setelah mendengar cerita bagaimana Siti Fatimah dan
Sayidina Ali mendapat kekuatan daripada berzikir dengan kalimah
Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahuakbar, mereka pun terus
mengamalkannya. Sayangnya, mereka tidak mendapat ketenangan seperti
yang dialami oleh Siti Fatimah dan Sayidina Ali.
Zikir sudah sama tetapi kenapa kesan pada hati berbeza? Sekali lagi, di mana salahnya?
Zikir
itu bukanlah sekadar menyebut-nyebut kalimah zikir tetapi yang lebih
penting menghayatinya dengan hati dan mempraktikkannya dengan
perbuatan. Oleh sebab itu, zikir itu terbahagi kepada tiga dimensi –
lidah (qauli), hati (qalbi) dan perbuatan (fi’li). Inilah yang hendak dipraktikkan oleh suami isteri agar rumah tangga bahagia.
Zikir
pada lidah, ramai yang sudah tahu. Yakni lidah menyebut-nyebut kalimah
zikir sama ada semasa solat, selepas solat, membaca al-Quran dan
sebagainya. Dalam sebuah rumah tangga, perlu ada program zikir secara
rasmi dan tidak rasmi agar seluruh anggota keluarga berzikir sama ada
secara berjemaah ataupun individu. Seelok-eloknya setiap keluarga ada
amalan-amalan zikir yang khusus dan diamalkan secara istiqamah. Pilih
sahaja sama ada al-Ma’thurat, Manzil atau zikir-zikir warisan keluarga
yang berasal daripada tarekat-tarekat yang muktabar. Atau ambil sahaja
daripada zikir-zikir yang telah terbukti autentik daripada petikan ayat
al-Quran dan hadis-hadis yang sahih.
Tidak
cukup sekadar “membaca” atau “menyebut” kalimah zikir, tetapi paling
utama mesti dihayati maknanya. Jika Subhanallah, ertinya Maha Suci
Allah. Apa maksud Maha Suci Allah itu? Allah suci daripada segala
kekurangan, kelemahan dan lain-lain sifat negatif sama ada dari segi
zat, sifat, perbuatan dan nama-nama-Nya. Allah itu juga suci daripada
segala sifat buruk, hodoh dan seumpamanya. Berlawanan dengan
makhluk-Nya yang serba-serbi lemah, kurang dan hina.
Untuk
menghayati zikir Subhanallah, seseorang mesti memahami makna dan
pengertiannya. Untuk mengetahui dan memahami, seseorang mesti belajar.
Setelah itu barulah erti Subhanallah itu dibawa dalam kehidupan dalam
bentuk penghayatan apabila bertemu dengan pelbagai insiden dalam rumah
tangga. Katakan “Subhanallah” apabila Allah disifatkan dengan sesuatu
yang negatif atau apabila berlaku sesuatu yang di luar dugaan sama ada
buruk atau baik, suka atau duka, untung atau rugi dalam rumah tangga
kita.
Tidak
cukup dihayati sahaja, tetapi praktik “Subhanallah” itu hendaklah
diterjemahkan dalam bentuk perbuatan. Segala tindakan sama ada oleh
suami atau isteri mestilah mencerminkan mereka benar-benar menyucikan
Allah. Orang yang benar-benar menyucikan Allah tidak akan marah-marah,
mengherdik apalagi memukul pasangannya. Adakah mereka berani berbuat
demikian jika mereka merasakan yang suci, yang hebat dan kuat hanya
Allah? Orang yang marah-marah, bengis dan mudah naik angin boleh
dianggap tidak menyucikan Allah dalam kehidupannya sebaliknya dia
“menyucikan” dirinya sendiri.
Ya,
kebahagiaan itu datang daripada ketenangan. Ketenangan itu pula datang
daripada zikir. Namun bukan semua zikir menghasilkan ketenangan. Zikir
yang menghasilkan ketenangan hanyalah zikir yang diamalkan secara
bersepadu antara lidah, hati dan anggota. Hanya zikir yang bersepadu
itu yang memberi ketenangan pada hati untuk menghadapi pelbagai
pancaroba dalam hidup.
Hati
yang tenang akan bersyukur apabila menerima nikmat, sabar apabila
ditimpa musibah, rela memberi maaf apabila dipinta, mudah meminta maaf
apabila bersalah, qanaah dengan rezeki yang ada, tawakal apabila
berusaha dan sentiasa bersangka baik dengan Allah dan manusia.
Mengapa dengan berzikir hati akan memiliki sifat-sifat baik ini?
(Insya Allah, kita sambung nanti)
diambil dari blog: Islam Pelita Hidup