Thursday, June 25, 2009

Zaujah solehah untuk zauj soleh

Entri kali ini abi ceduk dan ambil daripada sebuah blog teman abi juga Ibn Abdillah As Sarawaki. Ceritanya amat memberikan kesan ke dalam jiwa abi. Tersentuh hati ini apabila membacanya. Bacalah wahai pembaca budiman untuk renungan kita bersama.

Di sini abi tampilkan tulisan Saudara Herman Shamsudeen, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (jangan lihat pada label platform perjuangannya, lihat pada moral ceritanya!).

Terlibat dalam Jamaah adalah suatu perkara yang paling baik yang pernah ana lakukan kerana di sinilah bermulanya erti kehidupan ana yang sebenar. Diperingkat awal penglibatan memang banyak dugaan. Hatta, hingga ke hari ini pun masih ada lagi ujian yang harus dihadapi.
Memang letih untuk terlibat aktif dan memegang beberapa amanah berbentuk jawatan atau tugasan. Dalam hal ini memang sukar menolak bila sahabat memerlukan khidmat dari ana. Tapi kudrat ini terbatas, hanya Allah sahaja yang tahu. Namun ana bersyukur kerana Allah menganugerahkan seorang Zaujah yang rajin dan prihatin untuk menjaga ana.

Walaupun kerap keluar malam dan kembali ketika saat dinihari, namun kesabarannya berjaya menyejukkan hati. Berkat dari pembacaan dan tunjuk ajar dari orang-orang tua, bahtera yang baru setahun jagung ini tetap utuh walaupun sesekali dipukul ombak. Pelbagai ilmu cuba ana praktikkan bagi menjaga hubungan suami isteri, mana yang lebih kami kongsikan mana yang kurang kami tambahkan.

Masing-masing ada keburukkan dan keistimewaan. Dan peristiwa DEMAM PANAS sabtu lalu benar-benar menunjukan keistimewaan zaujah ana.

Pada Jumaat malam 22 Jun lepas, selepas sahaja mesyuarat bulanan bersama pemuda Titiwangsa kira-kira jam 12.00 tengah malam, ana terus menghantar seorang sahabat lama ke rumahnya di Padang Balang. Hujan renyai-renyai baru sahaja turun. Ketika sampai dirumah jam menunjukan masanya, 1.45 pagi. Keadaan sekitar Taman Batu Permai masih lagi bergelap, termasuklah rumah ana. Sejak jam 8.30 malam lagi, semua talian letrik sekitar Taman Batu Permai terputus, entah kenapa.

Walaupun hujan semakin kuat diluar, namun bahang panas dalam rumah amat terasa. Memang sedikit terganggu kehidupan dibandaraya ini bila letrik tiada, kipas pun tak dapat dihidupkan. Ketika masuk ke bilik, Kelihatan zaujah ana sedang tidur dalam keadaan berpeluh. Ana amat memahami kerana sejak berbadan dua ini suhu badannya memang berbeza. Lantaran itu, ana menyelakkan sedikit kain langsir dan membuka ’sliding door’ untuk membenarkan untuk sejuk diluar menyelinap masuk ke dalam bilik.
Selepas bersihkan diri dan menyalin pakaian, ana terus tidur. Tidur yang cukup lena diiringi oleh rintikan hujan yang kian lebat diluar.

Ketika zaujah ana kejutkan untuk bersolat subuh, memang berat nak bangun, badan terasa lemah. Namun untuk menunaikan tanggungjawab sebagai hamba Allah, ana kuatkan juga. Selepas solat subuh ana tidur semula. Zaujah ana kehairanan sebab petang semalam ana bagitau dia bahawa pagi ini ada program bersama PASTI di Cheras dan perlu keluar awal.
Zaujah ana kejutkan semula. Bila melihat ana mengigil dan memegang dahi ana yang panas barulah dia faham. Ana kena demam panas.

Alhamdulillah, dia tidak panik. Ana diselimutkan dengan selimut tebal dan dibiarkan tidur sebentar. Dalam pukul 8.30 pagi, dia mengejutkan ana lagi. Ketika ana bangun memang terasa lemah Kelihatan bilik telah dikemas, kain baju telah dibasuh dan disidai.
Dia memimpin ana ke tandas dan terus memandikan suaminya yang amat dicintai ini. Dia mengosok tubuh ana sambil memberikan kata-kata semangat. “Ini adalah ujian Allah, Allah nak bagi pahala” ujar zaujah ana.

Bila melihat kesungguhannya disaat memandikan ana, memang terasa terharu. Inilah dia Isteri Solehah kurniaan Allah, pagi petang tidak lupa baca Al-Quran, sentiasa memahami dan menjalankan tanggungjawabnya pada Allah dan suami.

Selesai sahaja mandi dan lengkap berpakaian, kami ke Klinik yang berhampiran. Doktor di klinik tersebut sedikit terkejut bila melihat termometer yang menyukat suhu badan ana. “over 100″ itulah yang terkeluar dari mulutnya. Suhu badan ana lebih dari 100 darjah Celcius. Ana diberikan satu injection dan ubat.

Sampai dirumah, zaujah ana terus menyediakan makanan berupa bubur. Ana disuapkan, dan sepintas lalu ana terkenangkan saat ketika zaman bujang dikampus dahulu. Seorang sahabat karib pernah menyuapkan makanan ke mulut ana ketika ana dimasukkan ke dalam wad di HKL. Tapi kali ini rasanya berbeza. Walaupun tekak terasa perit untuk menelan makan dan air, berkat keikhlasan seorang wanita yang bergelar zaujah ini segalanya mampu ana hadapi.

Walaupun cuma beberapa sudut tetapi ia cukup untuk mengenyangkan perut ana.
Ana terpaksa batalkan dan tarik diri dari semua program sepanjang hujung minggu ini kerana tidak terdaya. Ana hanya mampu terbaring di atas katil merenungkan kekerdilan diri sebagai hamba Allah. Dua hari ana terbaring dan tak mampu buat apa-apa. Semua kerja rumah, zaujah ana terpaksa lakukan bersendirian.

Selalunya jika ada masa dihujung minggu ana akan membantunya membasuh kain atau bersihkan rumah. Kali ini ana tak berdaya langsung. Service kereta pun zaujah ana terpaksa uruskan. Inilah dugaan Allah dan ana redha takdirNya ini.

Sesungguhnya Allah Maha Hebat dan Agung. Ia Maha Pemurah dan Menyayangi. DiberikanNya kita penyakit tetapi dalam masa yang sama dosa kita dihapuskan, pahala kita ditambah. Dianugerahi kita dengan kasih sayang dan kenikmatan hidup.
Hidup suami isteri memang menarik. Kita bersahabat banyak mana pun, tetapi dengan adanya seorang isteri yang solehah sudah cukup untuk membuatkan kita bahagia. Berkat seorang Isteri yang selalu mendoakan suaminya, InsyaAllah kita akan lebih maju kehadapan, asal sahaja kita tidak lupa pada tanggungjawab.

Kehidupan ini adalah satu tanggungjawab. Sebaik sahaja kita buka mata disubuh hari kita sudah ada tanggungjawab yang harus dilaksanakan. Kita tidak mampu hidup bersendirian, kita perlukan teman untuk kita meneruskan kehidupan ini.
Ana pernah hidup membujang, tetapi bila sudah berkahwin terasa banyak kelainan. Ringan bahu dan makin bersemangat untuk berjuang.

Kepada sahabat-sahabat yang belum berkahwin, ana nasihatkan untuk berkahwin segera. Jika tidak mampu berkahwin 4, kahwinlah 3, jika tak mampu, ambillah 2, jika tak mampu juga, cukuplah dengan 1. Kahwin ini satu amanah, tetapi dengan satu amanah ini, banyak amanah lain akan menjadi ringan dibahu kita. Terpulanglah pada kita untuk menjaga dan menguruskannya.
Dibelakang seorang lelaki yang hebat itu, pasti ada seorang wanita solehah yang menyokongnya. Jadi janganlah abaikan wanita yang bernama Zaujah ini, jagalah ia sebagai mana kita menjaga rusuk-rusuk yang ada dalam tubuh kita. Dekat dihati, menenangkan rohani.

Artikel ini sengaja ana nukilkan sebagai menterjemahkan sedikit keindahan alam rumahtangga dan penghargaan buat Zaujah ana yang tercinta serta zaujah para pejuang yang tabah, ikhlas dan taat pada suami mereka di seluruh dunia ini. Teruskan kebaktian anda pada suami, demi Allah doakan semoga mereka akan terus gagah berjuang kerana Allah.

No comments:

 
Copyright © 2017 Cerita Abi. All Rights Reserved. Designed by Cik Nurfarah.