Sebaik abi habis dari mengajar kelas tingkatan 1, tetiba seorang pelajar B meluru ke arah abi dan mengatakan ayahnya mahu berjumpa dengan abi. Dalam perbualan tersebut si bapa meluahkan rasa tak puas hatinya dengan sikap anak lelakinya apabila balik bermalam di rumah.
“ Ustaz begini ceritanya…selepas anak saya balik bermalam di rumah, saya benarkan dia melayari. Saya beri dia atas alasan dia mahu belajar. Saya percaya kepadanya “, ujar bapa tadi.
“ Tapi saya rasa terkejut apabila dia melayari web lucah. Saya check melalui history. Hati saya rasa kecewa sekali dan sebab itulah saya datang ke sini untuk minta bantuan daripada ustaz “ terang bapa tadi yang mana kerjanya tidak tetap. Seorang yang bersederhana dalam hidup. Mementingkan kejayaan anak-anak. Kesemua anaknya pandai-pandai belaka dan terpilih memasuki Sekolah Berasrama Penuh (SBP).
Begitulah luahan hati seorang bapa kepada abi. Paling abi menyayat hati apabila dia mengatakan kepada anaknya “ bang!, mak abang bangun jam 4 pagi kerana nak buat kuih untuk dijual. Kita orang susah bang! Bukannya orang senang”. Pada masa tu, seorang bapa mengalirkan air matanya. Bila abi melihat wajah si bapa tadi, hati abi turut tersentuh dan mata abi turut mengalirkan air mata. Keadaan senyap seketika kerana masing-masing terpaksa menahan sebak.
Lantaran itu, abi menasihati sibapa bahawa itu adalah antara ujian yang Allah turunkan kepadanya. Anak-anak adalah suatu ujian daripada Allah. Seorang bapa haruslah memerhatikan segala tingkahlaku anak-anaknya. Kalau anaknya tersalah langkah maka bapalah yang patut membetulkan segala kesalahannya. Kalau dibiarkan maka akan berpanjanganlah kesalahan itu dan akan mengheretkan bapa tadi ke neraka Allah swt.
Inilah cerita yang ingin abi kongsikan betapa hati seorang bapa yang begitu prihatin dan sayang kepada anaknya. Kalau bapa yang tak sayang kepada anaknya maka tak kisahlah apa yang dibuat oleh anaknya.